comscore
Tumpuan :
Nasional

Enam cedera bas ekspres rempuh lori dekat Terowong Menora

Bas ekspres yang melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 257, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan sebelum Terowong Menora, awal pagi tadi dipercayai mengalami masalah brek. – Foto Ihsan JBPM Perak

KUALA KANGSAR: Enam cedera apabila sebuah bas ekspres merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 257, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan sebelum Terowong Menora di sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata semua mangsa termasuk pemandu bas disahkan mengalami kecederaan ringan.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.46 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar diarahkan ke lokasi bagi operasi menyelamat.

“Ketika kejadian terdapat 26 orang berada dalam bas berkenaan dengan enam daripadanya termasuk pemandu cedera ringan selain tiada mangsa tersepit.

“Bomba membuat rawatan awal sebelum membawa mangsa yang cedera ke hospital menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta ambulans Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata berdasarkan maklumat awal yang diterima, bas terbabit menghadapi masalah brek  memaksa pemandu melanggar pembahagi jalan untuk menghentikannya bagi mengelak risiko lain terjadi.

Katanya, operasi menyelamat ditamatkan jam 3.40 pagi.

Loading...
Terkini