comscore
Tumpuan :
Nasional

Enam pasukan petugas khas perkasa pendidikan negara

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan enam pasukan petugas khas (Task Force) bagi memperkasakan haluan pendidikan negara pada tahun ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, ia bagi memastikan setiap keberhasilan yang berkualiti dapat dicapai dalam empat perkara utama.

“Saya menegaskan apa yang akan dilaksanakan pada 2024, apa yang perlu kita perkukuhkan bagi memastikan kualiti pendidikan kita berada pada tahap yang terbaik dan KPM memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan bahawa tidak ada seorang pun anak warganegara Malaysia yang tercicir daripada arus pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Ketua Pengarah Pendidikan Sempena Pembukaan Sesi Persekolahan 2024/2025, di sini hari ini.

Menurut Azman, pasukan khas yang ditubuhkan adalah Task Force Prasekolah serta Task Force Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) masing-masing diterajui Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), selain Task Force Intervensi Kurikulum diterajui Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK).

Turut ditubuhkan adalah Task Force Pendidikan Digital diterajui Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) manakala Task Force Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diterajui Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV).

Task Force Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) pula diterajui English Language Teaching Centre (ELTC), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Harapan untuk kita memastikan semua warga KPM bergerak sederap seirama dengan kita untuk memastikan semua dasar dan hal-hal operasi dapat diurus dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilapor berkata, empat perkara utama untuk memperkasa pendidikan negara iaitu peluasan Dasar Pendidikan STEM, program TVET, peningkatan mutu penguasaan Bahasa Inggeris dan membina ekosistem pendidikan digital.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini