comscore
Tumpuan :
Nasional

Enam pendaki selamat, silap pilih laluan

Enam pendaki yang dilaporkan sesat di Gunung Angsi, dekat Ulu Bendul, di sini, dijumpai kira-kira jam 12 tengah malam tadi – FOTO: NSTP

KUALA PILAH: Enam pendaki yang dilaporkan sesat di Gunung Angsi, dekat Ulu Bendul, di sini, ditemui kira-kira jam 12 tengah malam tadi dan berjaya dibawa turun kira-kira 50 minit kemudian dalam keadaan selamat.

Penolong Pengarah Bahagian Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan, Mohd Hafiz Mohd Shariff berkata, bagaimanapun seorang mangsa wanita mengalami kecederaan ringan pada kaki kiri.

“Semua mangsa dijumpai pada ketinggian 400 meter (m) pada aras laut pada jam 12.05 tengah malam. Ketika ditemui mereka berada di laluan yang betul dan tidak sesat.

 FOTO: NSTP

“Bagaimanapun, laluan yang dipilih mereka tidak sama dengan jalan naik yang mana ia agak sukar selain keadaan hujan menyebabkan mereka keletihan selain tiada sumber makanan,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, semua mangsa terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki berjaya dibawa turun ke kaki gunung jam 12.50 tengah malam dan diberikan rawatan awal.

“Ketika ditemui mereka dalam keadaan lemah kerana hanya makan pada tengah hari. Mangsa juga dalam tertekan ditambah dalam cuaca sejuk serta gelap.

“Semua mangsa dari Selangor. Ibu salah seorang daripada mereka menghubungi bomba selepas mendapati anaknya tidak memberi sebarang maklum balas sehingga petang tadi,” katanya.

Mohd Hafiz berkata, seramai 60 petugas terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Menanti, BBP Senawang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta bantuan malim gunung Jabatan Perhutanan.

Sementara itu, mangsa Amirah Afiqah Zahari, 28, berkata, ini kali pertama mereka mendaki Gunung Angsi dan kejadian itu memberi pengajaran.

“Sebenarnya kami salah pilih laluan yang mana menyebabkan kami banyak berhenti kerana penat dan hari semakin gelap.

“Kami kini masih dalam keadaan terkejut. Bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih kepada petugas yang berusaha mencari dan membawa kami turun dalam keadaan gelap,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini