comscore
Tumpuan :
Jenayah

Enam tahun diburu, guru muzik sambilan jadi keldai akaun tumpas

HULU SELANGOR: Selepas hampir enam tahun diburu, seorang guru muzik sambilan yang disyaki menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan di daerah ini akhirnya ditahan polis, kelmarin.

Lelaki berusia 53 tahun itu ditahan jam 7.55 pagi, hari ini, di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, di sini.

Difahamkan, suspek memperdaya seorang wanita berusia 44 tahun sebanyak empat kali sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM 35,250.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, terdahulu mangsa berkenalan dengan seorang lelaki yang dikenali dengan nama David Nick Eze menerusi laman Facebook, pada Oktober 2017.

Beliau berkata, sepanjang perkenalan wanita itu dijanjikan pelbagai barang mewah seperti komputer riba, barangan kemas, telefon bimbit dan wang tunai.

“Mangsa terjerat setelah menerima panggilan telefon daripada wakil kurier memaklumkan barang dihantar suspek telah tiba di Malaysia.

“Dia kemudian membuat pembayaran sebanyak empat kali bagi mendapatkan barang terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, wanita itu yang kemudian menyedari telah menjadi mangsa sindiket penipuan kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati akaun suspek terbabit dengan beberapa laporan polis.

“Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Keldai akaun ialah individu yang menyerahkan kad ATM serta nombor pin kad itu kepada individu lain dan akaun itu pula digunakan bagi tujuan jenayah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini