comscore
Tumpuan :
Nasional

Enam telaga tiub UMS siap sepenuhnya, atasi gangguan bekalan air

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Enam telaga tiub yang dibina di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), menggunakan dana RM3 juta yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu, sudah siap sepenuhnya dan mula beroperasi.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, bagaimanapun berkata keenam-enam telaga yang mampu membekal hingga sejuta liter air sehari (MLD) itu hanya sebagai alternatif ketika berlaku gangguan bekalan dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Beliau berkata, telaga tiub itu akan beroperasi sejurus berlaku gangguan bekalan air yang disalurkan JANS, sebagai kemudahan sokongan untuk memastikan pelajar dan semua warga kampus tidak lagi berdepan masalah ketiadaan air yang kritikal.

“Semua telaga tiub bagi pakej satu dan dua yang dibina di UMS sudah siap sepenuhnya meskipun ada sedikit kelewatan. Ketika ini, telaga tiub berkenaan dalam proses percubaan untuk kita pastikan bekalan air ini seperti yang kita harapkan.

“Tapi, saya ingin tegaskan bahawa apa yang dilaksanakan ini hanyalah alternatif. Sekiranya bekalan air dari pihak JANS tidak berfungsi, maka telaga tiub ini akan digunakan.

“Kita sudah pasang beberapa tangki di sekitar kediaman untuk simpan air. Apabila sumber dari JANS ini kurang, maka kita akan minta pelajar-pelajar supaya ambil stok yang ada di sekitar asrama mereka,” katanya ditemui selepas meninjau perkembangan terkini projek telaga tiub UMS, di sini, hari ini.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar mengingatkan warga UMS dan orang ramai supaya memahami situasi sebenar masalah air yang dihadapi di kampus universiti itu dan kawasan sekitarnya.

Projek telaga tiub itu dilaksanakan sejak awal tahun ini berikutan situasi bekalan air yang meruncing disebabkan kekurangan bekalan dari loji rawatan air (LRA) selain kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi, terutama di kawasan setinggan sekitar Sepanggar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini