Tumpuan :
Nasional

Enggan bayar denda hilang MyKad, lelaki buat laporan palsu disamun

SUBANG JAYA: Hanya kerana enggan membayar denda kerana kehilangan kad pengenalan (MyKad), seorang lelaki sanggup membuat laporan palsu kononnya disamun di kawasan USJ 10/1, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki berusia 37 tahun itu yang bekerja sebagai ejen insuran membuat laporan polis mendakwa tiba-tiba didatangi seorang lelaki pada 6 petang, semalam.

Menurutnya, suspek didakwa merampas dompetnya sebelum melarikan diri bersama rakan yang menunggu di motosikal dan kerugian membabitkan dokumen peribadi.

“Hasil temu bual dan siasatan awal mendapati kejadian samun jalanan itu tidak berlaku.

“Pengadu membuat laporan palsu kerana kad pengenalannya sudah hilang dan enggan membayar denda (kerana kehilangan dokumen itu),” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Wan Azlan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 182 / 395 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan pertuduhan ke atas lelaki terbabit.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat laporan polis palsu dan perkara itu adalah kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan (Akta 574).

“Jika disabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini