comscore
Tumpuan :
Nasional

Enrolmen pelajar bagi bidang STEM meningkat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kemasukan pelajar terhadap bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan, sekali gus membuktikan kecenderungan generasi muda mendalaminya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, prestasi itu dilihat menerusi kadar enrolmen tahun ini yang melonjak kepada 45.73 peratus, berbanding 40.95 peratus pada 2021.

“KPM sentiasa berusaha membangunkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk menyertai aliran STEM.

“Sehingga Ogos lalu, data KPM menunjukkan peratusan enrolmen murid STEM meningkat daripada 40.95 peratus pada 2021 kepada 45.73 peratus pada 2023,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang meminta menteri menjelaskan langkah diambil Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani penurunan pelajar menengah atas yang menyertai aliran STEM dari 2017 dan 2024.

Fadhlina berkata, pelbagai langkah penting diambil terutama melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Jelasnya, PPPM memberi penekanan kepada meningkatkan minat murid melalui pendekatan pembelajaran baharu dan pemantapan kurikulum, meningkatkan kemahiran dan kebolehan guru bidang STEM serta meningkatkan kesedaran terhadap STEM dalam kalangan murid, ibu bapa dan orang awam.

“Usaha meningkatkan kecekapan guru dan pemantapan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam dan luar bilik darjah juga antara langkah yang dilaksanakan bagi meningkatkan minat murid, seterusnya mendorong mereka memilih aliran STEM di peringkat pengajian yang lebih tinggi.

“KPM turut memberi perhatian kepada kesediaan infrastruktur bagi menyokong pendidikan STEM,” katanya.

Beliau menjelaskan, ada inisiatif yang diumum pada pembentangan Belanjawan 2024, termasuk peruntukan RM100 juta untuk pemerkasaan STEM bagi tujuan menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer serta perolehan peralatan baharu.

Selain itu, katanya, peruntukan lain ialah RM254 juta yang diluluskan untuk pembekalan peralatan pelajaran Reka Bentuk Teknologi (RBT) sekolah rendah dan tujuan ubah suai naik taraf Bilik Reka Bentuk Teknologi (RBT) sekolah rendah dalam Rolling Plan ketiga.

Loading...
Terkini