comscore
Tumpuan :
Nasional

Fadillah bertemu Menteri Air Palestin, zahirkan kesediaan Malaysia pulihkan bekalan air

Rakyat Palestin menadah air susulan krisis berterusan antara Palestin dan Israel di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. – FOTO: Reuters

BALI: Malaysia bersedia untuk membaiki atau membina semula sistem bekalan air bersih pasca konflik di Semenanjung Gaza, Palestin.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan hasrat itu kepada Menteri Air Palestin Mazen Ghunaim, yang juga ketua Pihak Berkuasa Air Palestin.

Ia ketika pertemuan dua hala di luar mesyuarat kepimpinan tertinggi di Forum Air Dunia ke-10 yang berakhir hari ini, atas permintaan Mazen.

“Mereka melahirkan harapan agar Malaysia dapat memberikan pelbagai bentuk bantuan terutama bantuan teknikal selepas krisis semasa.

“Pada masa ini, bekalan air bersih di sana terjejas teruk dan terganggu,” katanya kepada media Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia juga sedia memberikan bantuan teknikal, dengan syarat dibenarkan masuk ke negara berkenaan.

“Ini memerlukan perbincangan lanjut mengenai kaedah, masa dan cara pelaksanaan dengan pihak Palestin,” katanya.

Menurut Datuk Seri Fadillah, Malaysia telah menghantar sedikit bantuan kemanusian termasuk bekalan air botol untuk disalurkan ke Palestin.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini