comscore
Tumpuan :
Nasional

Fadillah ketuai delegasi ke Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN di Laos

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-42

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-42 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Vientiane, Laos selama dua hari pada 26 hingga 27 September ini.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan memaklumkan, kehadiran Fadillah membuktikan komitmen dan sokongan negara dalam menjayakan agenda ASEAN dan sebagai persediaan ke arah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025.

“Perbincangan akan memberi fokus kepada dasar dan hala tuju, pembangunan infrastruktur, pelaksanaan program dan aktiviti, perkongsian maklumat dan teknologi serta kepakaran dalam bidang tenaga di kalangan negara anggota ASEAN,” katanya.

Mesyuarat yang dipengerusikan Laos itu bakal dihadiri Menteri-menteri Tenaga ASEAN.

PETRA berkata, selaku Timbalan Pengerusi Mesyuarat AMEM ke-42, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air akan mengetengahkan pendirian negara dalam pelbagai isu di bawah bidang tenaga.

Antaranya, inisiatif ASEAN Power Grid (APG) sebagai agenda utama sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025 bagi memacu peralihan tenaga negara dan ASEAN serta agenda pembangunan tenaga yang inklusif dan saksama.

Selain itu, Fadillah juga akan membawa aspirasi negara ke arah pembebasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih khususnya Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen (HETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).

“Mesyuarat AMEM merupakan satu landasan strategik bagi mengumpulkan semua pemegang taruh dan pihak berkaitan dengan industri tenaga di rantau ASEAN termasuk rakan dialog dan organisasi tenaga antarabangsa untuk membincangkan isu berkaitan pembangunan sektor tenaga secara holistik di rantau ASEAN,” katanya.

Mengulas lanjut, PETRA menjelaskan, perkongsian dan libat urus mengenai inisiatif progresif oleh Malaysia mampu memberikan gambaran positif mengenai komitmen dan potensi pelaburan hijau negara kepada pelabur dari rantau Asia Tenggara.

Pada masa sama, Fadillah akan mengadakan perbincangan dua hala dan pelbagai hala dengan Menteri-menteri Tenaga ASEAN dan negara rakan dialog serta ketua organisasi antarabangsa tenaga.

“Peluang ini akan dimanfaatkan oleh Timbalan Perdana Menteri untuk mempromosikan negara sebagai destinasi pelaburan serta membuka peluang kepada pelbagai pihak untuk mendapatkan penjelasan berhubung dasar negara khususnya dalam membangunkan sektor tenaga dan teknologi rendah karbon yang menyokong aspirasi peralihan tenaga negara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini