comscore
Tumpuan :
Nasional

Fahmi Fadzil akan bincang isu ‘Duta Online’ KPKT dengan Nga Kor Ming

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi bakal meneliti isu pertindihan penubuhan “Duta Online” oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diwujudkan untuk menangkis fitnah terhadap kerajaan.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata beliau belum mendengar taklimat mengenai usaha itu, namun akan menelitinya dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

“Saya belum berkesempatan dapat taklimat penuh daripada KPKT mengenai usaha tersebut.

“Bagaimanapun, sudah pasti saya lihat dari satu sudut mungkin (penubuhan Duta Online) khusus isu melibatkan KPKT.

“Itu mungkin tempat yang akan dibantu pasukan ini. Saya tidak lihat mereka akan masuk dalam bidang pihak-pihak lain.” Katanya ketika ditemui media di Program Korban Perdana Lembah Pantai di sini.

Jelas Fahmi, pihaknya tidak menolak usaha yang dilaksanakan oleh kementerian berkenaan.

“Saya tidak menolak usaha itu. Pada masa sama, semestinya kita inginkan penyelarasan dari segi maklumat yang disampaikan.

“InsyaAllah saya akan telitikan perkara ni dengan Menteri KPKT,” katanya.

KPKT sebelum ini dilaporkan mahu menubuhkan pasukan “Duta Online” untuk menangkis fitnah serta menyampaikan maklumat sahih dan polisi kerajaan secara efektif.

Terdahulu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut bersama dengan masyarakat dalam program Korban Perdana.

54 ekor lembu dikorbankan melalui sumbangan dan ikhtiar pejabat parlimennya melibatkan hampir 40 kawasan penempatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini