comscore
Tumpuan :
Nasional

Fahmi sampaikan warkah persilaan istiadat pertabalan Agong kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang

Fahmi menyampaikan Warkah Persilaan ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Seri Mutiara, hari ini. – Foto media sosial

GEORGETOWN: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini menyampaikan Warkah Persilaan ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Seri Mutiara di sini.

Fahmi, selaku Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong, berkata istiadat pertabalan yang berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai ini memberi peluang kepada rakyat untuk memahami dan memupuk rasa cinta terhadap institusi diraja.

“Kami di Kementerian Komunikasi sedang menyelaras pelbagai aktiviti yang boleh diadakan sepanjang minggu menuju ke hari pertabalan,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

Pada 16 Mei lalu, Fahmi berkata, kerajaan dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong akan melaksanakan pelbagai acara sempena istiadat penuh simbolik itu yang berlangsung lima tahun sekali.

Terdahulu, beliau menghadiri Program Sembang Santai Komuniti MADANI Parlimen Nibong Tebal dan melakukan lawatan kerja ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sungai Bakap dekat sini. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini