comscore
Tumpuan :
Fail Mahkamah

FAIL MAHKAMAH: Mangsa kekejaman sang suami

FAIL MAHKAMAH: Kes kematian wanita bergelar isteri oleh suami bukan kejadian terpencil yang jarang berlaku di negara ini.

Peguam, Nor Zabetha Muhamad Nor berkata melihat kepada keadaan semasa, banyak faktor yang mendorong kepada keganasan rumah tangga atau jenayah domestik antaranya kerana pengaruh dadah dan cemburu melampau.

“Ada kes keganasan rumah tangga berlaku kerana isu media sosial. Misalnya suami terlalu cemburu isteri banyak muat naik di media sosial. Suami rasa tidak selesa. Semua perkara nak dikongsikan dengan media sosial.

“Dan ada juga kes keganasan rumah tangga berlaku kerana masalah kewangan dan dalam keadaan hari ini semakin lama ianya semakin menekan,” katanya dalam program Fail Mahkamah.

Program Fail Mahkamah mengimbas tiga kes jenayah domestik kematian isteri yang menjadi mangsa kekejaman suami.

Antara paparan adalah kes pembunuhan kejam seorang wanita warga Bangladesh, yang mayatnya dikerat enam bahagian dan ditemui disumbat di dalam dua beg bagasi di Jalan Ipoh, ibu negara, pada 5 Julai 2018.

Pelakunya adalah suaminya sendiri, juga warga Bangladesh, Md Shahzada Saju mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 20 tahun penjara.

Menurut Asisten Superintendan (ASP) Faizal Abdullah yang menjalankan siasatan kes berkenaan ketika itu, siasatan kes bermotifkan cemburu.

“Siasatan ke atas kes ini bermotifkan kepada cemburu. Di mana si mati telah dikatakan mempunyai teman lelaki lain dan sering membawa teman lelakinya balik ke tempat tinggal si mati dan suspek.

“Sebelum kejadian bunuh ini berlaku telah berlaku perselisihan paham pertengkaran mulut antara si mati dan suspek, di mana ianya berpunca daripada teguran ataupun larangan suspek ke atas si mati ini supaya meninggalkan teman lelaki si mati,” katanya dalam program Fail Mahkamah.

Pemeriksaan di lokasi jenayah turut menemukan sebaris ayat dalam Bahasa Benggali yang ditulis menggunakan darah, bermaksud ‘saya sayang pada kamu’.

Dua lagi kes yang dipaparkan adalah kes seorang suami tergamak bertindak membakar isteri, gara-gara tidak puas hati dituduh menagih dadah, dalam kejadian yang berlaku di Kampung Bharu, Manjung, Perak pada 10 Julai 2023 dan kes suami mendera isteri sehingga mati sebelum si pelaku sendiri menghantar mayat wanita itu ke sebuah hospital di Kajang pada 23 Julai 2023.

Pengamal Undang-Undang, Mohd Hafiz Zainol Abidin berkata dalam kes penderaan domestik, tindakan awal oleh mangsa amat penting, kerana kebanyakan kes tidak diketahui oleh orang luar.

“Walaupun kesalahan itu dilakukan oleh suami ataupun isteri, sekarang pun ada juga isteri yang mendera suami, dari sesi undang-undang ia satu kesalahan yang boleh dikenakan satu pertuduhan.

“Tetapi yang penting adalah mangsa itu sendiri perlulah tampil membuat laporan kepada pihak polis, supaya polis melakukan siasatan,” katanya dalam program Fail Mahkamah.

Saksikan imbasan terperinci kes menerusi program Fail Mahkamah pada jam 9 malam, malam ini di TV3 atau strim menerusi www.tonton.com.my dan aplikasi Tonton.

Loading...
Terkini