comscore
Tumpuan :
Fail Mahkamah

‘Fail Mahkamah’ mula ke udara malam ini di TV3

PETALING JAYA: Program dokumentari terbaharu, Fail Mahkamah bakal ke udara mulai malam ini di TV3 membawa penonton mengimbas kembali kronologi kes-kes yang tragik, sensasi dan berprofil tinggi yang pernah mendapat perhatian dan liputan meluas media.

Bakal bersiaran setiap Rabu jam 9.00 malam diketuai Mohd Said Abdullah Thani dan Mohd Azri Atan selaku Penerbit Eksekutif serta Muhamad Hanif Sulhi Hassan sebagai Penerbit.

Fail Mahkamah bakal memukau penonton dengan pandangan yang lebih mendalam tentang beberapa prosiding dari perspektif undang-undang tentang kes-kes yang sensasi dalam sejarah di Malaysia yang pernah dibicarakan.

Ia turut menampilkan laporan atau status terkini daripada Mahkamah Keadilan khas untuk penonton setia TV3.

“Kes yang mengimbas kembali suasana bilik mahkamah akan menjadi lebih menarik dengan laporan khas di mana wartawan perlu turun padang untuk meninjau semula kes yang telah diselesaikan.

“Penyiasatan jenayah dan tragedi yang popular ini ditunjukkan dengan infografik yang menarik bagi memudahkan lagi penonton untuk memahami,” menurut kenyataan dikeluarkan.

Setiap episod tertumpu kepada kes tertentu seperti kes syariah, kes bertaraf antarabangsa dan kes siasatan jenayah yang tidak dapat diselesaikan.

Antara kes yang diangkat seperti pembunuhan Sosilawati, Nurin Jazlin, Sharlinie, Canny Ong, Suzaily Mokhtar dan tragedi yang menyayat hati seperti insiden Highland Tower dan Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Penonton boleh menyaksikan Fail Mahkamah menerusi siaran TV3 atau strim langsung secara definisi tinggi di www.tonton.com.my.

Loading...
Terkini