comscore
Tumpuan :
Nasional

Faktor geografi, populasi Langkawi buatkan tren LRT tidak sesuai dibangunkan – Mahdzir Khalid

ALOR SETAR: Langkawi dilihat sebagai kawasan belum sesuai dibangunkan perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) berteknologi maglev berikutan keadaan geografi serta populasi penduduk yang tidak ramai.

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pulau itu sudah mempunyai pelbagai kemudahan pengangkutan selain tawaran kereta sewa yang tinggi.

“Kelmarin mereka umum (cadangan wujud tren LRT) hari ini kita tengok komen daripada profesional, teknokrat dan ahli akademik pun memang bagi sesuatu (pandangan) yang agak negatif.

“Dengan kedudukan pulau dan populasi yang ada, kemudian dengan perkhidmatan e-hailing dan kereta sewa, kita perlu lihat semua ini,” katanya selepas Majlis Tautan Kasih Sepetang Bersama Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Kedah, semalam.

Turut hadir Presiden MUBARAK Malaysia, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Mahdzir yang juga Pengerusi UMNO Kedah berkata, pimpinan kerajaan negeri terlalu gemar membuat pengumuman mengenai pelbagai projek, namun belum ada pelaksanaannya.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah Tokoh MUBARAK kepada bekas Menteri Besar Kedah ke-6, Tan Sri Osman Aroff (lima kanan) pada Majlis Tautan Kasih bersama MUBARAK Kedah di Alor Setar. – FOTO: NSTP

Katanya, projek seperti itu mungkin hanya pada peringkat kajian seperti beberapa projek lain yang diumumkan sebelum ini.

“Menteri Besar (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) ini memang terkenal dengan juru umum, mungkin dia baru nak buat kajian.

“Buatlah kita hendak tengok, tapi saya tak nampak, macam umum (projek) Lapangan Antarabangsa Kulim (KXP), kemudian umum pelabuhan Sanglang dan sekarang LRT di Langkawi,” katanya.

Isnin lalu, media melaporkan Kedah merancang membina sistem tren LRT menggunakan teknologi levitasi magnet di Langkawi.

EXCO Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Dr Haim Hilman Abdullah berkata syarikat Royal Eco Train Development (RETD) dari Korea Selatan dipilih bagi melaksanakan kajian projek yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

Katanya, RETD bakal bekerjasama bersama Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Syarikat Q-Plex untuk mengkaji sudut teknikal, geografi dan impak projek itu kepada ekonomi setempat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini