comscore
Tumpuan :
Nasional

FAMA bantu edar 51,000 telur di Pahang

FAMA Pahang menerima 51,000 telur ayam gred A, B dan C untuk diedarkan kepada pengguna bagi menampung bekalan yang berkurangan. – FOTO: NSTP

KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang mengedarkan lebih 51,000 telur ayam gred A, B dan C bagi memenuhi permintaan pengguna di negeri ini serta peniaga yang berdaftar dengan agensi itu.

Pengarahnya, Saiful Sadri, berkata penghantaran telur daripada pembekal utama di Melaka itu adalah yang pertama pada tahun ini dan lebih banyak akan diterima bergantung kepada permintaan semasa.

Beliau berkata, telur yang dibekalkan FAMA sekurang-kurangnya dapat menampung bekalan sumber makanan itu yang terjejas sebelum ini disebabkan berlakunya kekurangan pengeluaran.

“Tahun lalu, kita mengedar lebih 201,000 telur membabitkan tiga kali penghantaran bermula pada 16 November membabitkan kira-kira 90,000 biji bagi sekali penghantaran.

“Kali ini pengguna dan peniaga perlu datang sendiri ke pejabat FAMA Pahang untuk mendapatkan telur. Minggu hadapan jualan di Pasar Tani Rompin dan Pasar Tani Kekal Pekan akan diadakan.

“Sebelum ini kita mengagihkan bekalan telur kepada lebih 15 penjual terdiri daripada usahawan bimbingan FAMA seperti AgroBazar Rakyat, Pusat Khidmat Pemasaran FAMA (PKPF), peniaga pasar tani, pemborong, pekedai runcit dan FAMA daerah,” katanya di sini semalam.

Saiful berkata, telur dijual mengikut harga kawalan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan usahawan berpuas hati apabila memperoleh bekalan telur pada harga kawalan.

“Pengguna yang ingin mendapatkan telur daripada FAMA boleh membeli secara dalam talian, baucar RM10 diberikan kepada mereka yang membeli RM30 ke atas bagi 1,000 pembeli pertama.

“Kita akan terus mengedar telur ayam selagi ada permintaan daripada pengguna di negeri ini dan proses membawa masuk telur ayam akan dilakukan secara berperingkat. Jumlahnya bergantung pada permintaan daripada usahawan,” katanya.

Loading...
Terkini