comscore
Tumpuan :
Nasional

Fasa 4 Op Global tahan 155 suspek ada kaitan GISBH, 186 mangsa diselamat

Oleh: Ing Boon Seng

PETALING JAYA: Operasi Fasa 4 Op Global yang dilancarkan hari ini berjaya menahan 155 orang suspek yang ada kaitan dengan organisasi Global Ikhwan Services And Business Holdings (GISBH).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, serbuan dilakukan di 82 premis melibatkan rumah amal, klinik, premis perniagaan, ma’ahad, dan rumah persendirian di seluruh negara itu juga berjaya menyelamatkan 186 mangsa.

Dalam satu kenyataan, Tan Sri Razarudin memaklumkan Fasa 4 Op Global tertumpu di semua negeri di Semenanjung Malaysia bagi mengesan saki baki ahli yang terlibat dengan organisasi berkenaan.

Operasi besar-besaran itu melibatkan kekuatan keseluruhan seramai 3,801 sumber manusia meliputi PDRM dengan 2,528 pegawai dan anggota serta 1,273 kakitangan agensi kerajaan yang lain.

Ini termasuk Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kimia dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Tangkapan yang dilakukan hari ini membabitkan 78 lelaki dan 77 wanita.

Manakala mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita.

Seorang kanak-kanak yang tular di media sosial sedang dirotan oleh lelaki dipercayai ahli GISBH juga berjaya diselamatkan.

PDRM bersama Jakim katanya turut membuat beberapa rampasan termasuk risalah-risalah mengandungi doktrin yang diperjuangkan oleh GISBH yang dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat.

Dalam beberapa serbuan juga didapati premis-premis sasaran telah kosong dipercayai ahli GISBH telah melarikan diri.

PDRM menasihatkan mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut untuk tampil membuat laporan polis.

Kesemua tangkapan dibawa ke formasi masing-masing dan disiasat dibawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini