
KUALA LUMPUR: Polis akan merakam percakapan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin depan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya menerusi Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, sudah berhubung dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) terbabit.
“Temu janji untuk rakaman percakapan terhadap Tan Sri Muhyiddin dijadualkan pada jam 10 pagi, Isnin depan.
“Rakaman percakapan akan dibuat di Pejabat MIDA, KL Sentral,” katanya kepada BH, hari ini.
Ayob Khan berkata, pada masa ini terdapat dua laporan polis diterima berhubung isu yang sama dan salah satu laporan diklasifikasikan sebagai rujuk laporan pertama (ROR).
Sebelum ini, Muhyiddin dalam ucapannya menyatakan ‘fatwa’ haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.
PRK Parlimen Pulai akan diadakan Sabtu ini berikutan kematian penyandang Parlimen Pulai, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lalu.
Dalam perkembangan lain, Ayob Khan menyatakan bahawa sebanyak satu kertas siasatan dibuka berhubung isu 3R (Agama, Bangsa, Institusi Diraja) sepanjang tempoh berkempen PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
“Kertas siasatan itu adalah membabitkan ceramah oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menyentuh isu Lembaga Pengampunan, dalam ceramahnya di Markas PAS, Bakri, Muar, Johor, bulan lalu,” katanya.