comscore
Tumpuan :
Nasional

FELDA perlu diurus dengan baik – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli (kiri) mengacau bubur lambuk yang dimasak ketika Majlis Berbuka Puasa MADANI di Felda Chuping, Padang Besar, hari ini. – FOTO: NSTP

PADANG BESAR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) perlu diurus dengan lebih baik dalam memastikan organisasi itu terus kekal relevan pada waktu ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tadbir urus FELDA perlu seiring dengan keadaan semasa.

“FELDA perlu diurus secara baik dengan meninggalkan pengalaman yang merugikan pada masa lalu dan membawanya ke hadapan dengan lebih baik.

“Tadbir urus FELDA yang baik bukan hanya terhad kepada pengurusan semata-mata tetapi membabitkan seluruh warga FELDA di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI peringkat negeri Perlis 2024 di FELDA Chuping, di sini hari ini.

Anwar berkata, banyak perubahan yang sudah dilakukan kerajaan dalam kelangsungan FELDA di negara ini.

“Apa tugas kerajaan (terhadap FELDA), banyak perubahan yang sudah kita buat terhadap FELDA di mana dahulunya FELDA ini adalah satu kawasan yang agak gelap gelita tetapi kini ia sudah ditambah baik dengan kemudahan lampu jalan yang banyak.

“Selain itu, kita juga mendengar rintihan orang FELDA seperti mengadakan pusat dialisis di mana jika dahulu terpaksa ke Kangar untuk melakukan proses dialisis tetapi sekarang, pusat dialisis sudah diwujudkan setiap FELDA.

“Ini termasuk kemudahan perumahan di FELDA yang juga kita tambah,” katanya.

Terdahulu, Anwar turut menyantuni anak yatim dan asnaf dengan menyerahkan sumbangan duit raya.

Turut hadir adalah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan barisan kepemimpinan kerajaan negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis dari blok kerajaan dan pembangkang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini