comscore
Tumpuan :
Nasional

Feri ke Langkawi tersangkut tali sauh lagi

Kejadian pertama feri tersangkut ahad lalu
FOTO: Ihsan Ferrylines Ventures

ALOR SETAR: Sebuah feri yang membawa 133 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi dilaporkan tersangkut berhampiran jeti Kuala Kedah, kira-kira jam 4 petang tadi.

Ini adalah kejadian kedua membabitkan feri tersangkut tali sauh kapal di kawasan Kuala Kedah selepas kejadian pertama Ahad lalu.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan dari Bahagian Operasi Ferrylines Ventures Sdn Bhd berikutan feri yang dijadualkan berlepas jam 4 petang dari Kuala Kedah itu tersangkut tali sauh.

Beliau berkata, setakat ini operasi memindahkan kesemua penumpang dalam feri berkenaan sedang dilakukan dengan bantuan bot nelayan serta pasukan penyelamat.

“Ketika kejadian air laut berada pada paras ketinggian 2.1 meter.

“Kesemua penumpang tidak dapat meneruskan perjalanan ke Langkawi hari ini disebabkan air laut sudah semakin surut ketika ini dan pasang pada jam 12 tengah malam ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Baharin berkata, penumpang feri akan ditempatkan di sekitar hotel di Alor Setar dan syarikat feri berkenaan akan menampung segala kos penginapan mereka kerana memahami bahawa mereka sudah membuat tempahan di Langkawi dan sebagainya.

Katanya, mereka hanya akan meneruskan perjalanan ke Langkawi pada jam 2 petang esok.

“Bagaimanapun penumpang yang hendak mendapatkan semula wang mereka, kita akan pulangkan,” katanya.

“Kami akan berbincang dengan peguam kami untuk mendapatkan nasihat sama ada boleh menyaman kontraktor.

“Masalah ini memberi nama buruk kepada syarikat kami dan nama Pulau Langkawi serta kos ganti rugi dan pembaikan yang tinggi terpaksa dikeluarkan jika berlaku insiden seperti ini,” katanya.

Baharin berkata, insiden sebelum ini tidak memberi pengajaran kepada semua pihak dan amat menyedihkan.

Dalam kejadian pertama 23 Oktober lalu, sebuah feri yang membawa 133 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi tersangkut berhampiran jeti Kuala Kedah.

Loading...
Terkini