FESTIVAL Filem Jepun (JFF) yang ditunggu-tunggu kini kembali di beberapa pawagam GSC terpilih di seluruh Malaysia bermula dari 7 September hingga 15 Oktober 2023 ini.
Ia bakal membawakan filem pilihan terbaik sinema Jepun di layar lebar GSC untuk keseronokan semua peminat di Malaysia.
Pada tahun ke-19 penganjurannya, acara tahunan ini menampilkan lebih daripada 16 naskhah menarik dalam pelbagai genre seperti drama, dokumentari, romantik, misteri dan animasi yang akan membawa penonton mendalami budaya Jepun.
Bagi membuka tirainya pada edisi kali ini, JFF bakal membawakan sebuah karya arahan hebat pengarah terkenal MIYAKE Sho, ‘Small, Slow but Steady’ yang akan turut membuat penampilan istimewa pada majlis pembukaan festival.
Karya beliau sebelum ini iaitu ‘Ju-on: Origins’ dan filem ‘And Your Bird Can Sing’ yang mendapat sambutan hangat di Netflix kini juga boleh ditonton di laman web JFF+ INDEPENDENT CINEMA.
Sempena sambutan Ulang Tahun Persahabatan ASEAN-Jepun yang ke-50, JFF turut membawakan tetamu istimewa iaitu seorang pengarah filem Malaysia yang aktif menghasilkan filem di Osaka, Jepun, Lim Kah Wai, yang dikenali dengan ‘Your Lovely Smile’.
Menambahkan lagi kemeriahan festival, acara ini dengan bangganya mempersembahkan edisi kemas kini digital ‘LUPIN the Third The Castle of Cagliostro’, filem pertama dari pengarah legenda Miyazaki Hayao yang antara kerjaya cemerlangnya ialah karya animasi klasik seperti ‘My Neighbor Totoro’, ‘Princess Mononoke’, ‘Spirited Away’ dan pelbagai lagi dari Studio Ghibli.
Selain itu, antara yang bakal menarik perhatian penonton adalah tayangan maraton percuma Detective Conan pada 9 dan 17 September di Lembah Klang dan Pulau Pinang, yang mana tajuk-tajuk seperti ‘The Last Wizard of the Century’, ‘Crossroad in The Ancient Capital’ dan ‘The Private Eyes’ Requiem’ bakal dipersembahkan.
Tiket untuk tayangan maraton Detective Conan perlu ditempah di Eventbrite namun bergantung pada ketersediaan tiket pada hari tayangan.
Pengunjung festival juga boleh mendapat ganjaran ketika menikmati festival dengan mengumpul setem yang boleh digunakan untuk menebus sagu hati dan hadiah eksklusif JFF, tertakluk kepada terma dan syarat.
Tiket bagi JFF 2023 akan dijual pada harga berpatutan RM10 (kecuali ‘#Manhole’) melalui saluran GSC.
Kesemua tayangan filem ini adalah dalam bahasa Jepun dengan sari kata bahasa Inggeris.
Bagi mendapatkan senarai lengkap sinopsis filem yang bakal ditayangkan di JFF, waktu tayangan dan maklumat berkaitan, layari laman sesawang jfkl.org.my/japanese-film-festival-2023 dan gsc.com.my.