comscore
Tumpuan :
Nasional

Fi perkhidmatan kesihatan awam perlu dikaji tanpa bebankan rakyat

Foto hiasan

Oleh: Shuhadah Marzuki

PETALING JAYA: Cadangan mengkaji semula fi yang dikenakan klinik, hospital dan fasiliti kesihatan awam perlu dilakukan dengan teliti tanpa membebankan rakyat.

Artikel berkaitan: [VIDEO] Kertas Putih Kesihatan: Kaji semula caj klinik kesihatan, hospital kerajaan

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologi, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata bayaran yang dikenakan masih rendah berbanding perkhidmatan kesihatan di negara jiran.

“Sudah sampai masanya kerajaan dan rakyat sedar bahawa bayaran sekarang yang berharga RM1 untuk rawatan pesakit luar dan RM5 untuk rawatan pakar dan juga bayaran bayaran lain yang agak rendah di dalam hospital hendaklah dikaji semula sesuai dengan keadaan masa, perkhidmatan dan sebagainya.

“Jadi kalau masih kita kekalkan bayaran yang minima RM1 atau RM5 tu kita takkan dapat menampung atau meningkatkan perkhidmatan kita”.

Kata Datuk Dr Zainal kepada Buletin TV3, tidak dinafikan rakyat kini terbeban dengan kekangan ekonomi pada masa kini.

Bagaimanapun perkara itu boleh diterima rakyat sekiranya KKM memberi penerangan yang teliti pada setiap peringkat masyarakat.

Pandangan yang sama turut disuarakan oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Menurut Datuk Nadzim, semakan semula fi itu bukan bertujuan membebankan rakyat tetapi bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Beliau turut mencadangkan agar KKM turut berusaha menyediakan mekanisma pengecualian pembayaran bagi pesakit yang benar-benar tidak mampu.

“Realitinya, bayaran yang dikenakan tidak realistik dan tiba masanya bayaran RM1 itu dilihat semula.

“Dan untuk mereka yang tidak berkemampuan, KKM boleh meminta pesakit itu membuat permohonan untuk mendapat pengecualian pembayaran fi.” katanya.

Kertas Putih Kesihatan mencadangkan supaya struktur fi rendah yang dikenakan di klinik, hospital dan fasiliti penjagaan kesihatan awam lain, dikaji serta disemak semula supaya lebih sepadan dengan kemampuan pesakit.

Berdasarkan dokumen setebal 57 halaman itu, reformasi berkenaan dicadangkan untuk menyasarkan subsidi penjagaan kesihatan dengan lebih baik.

Loading...
Terkini