comscore
Tumpuan :
Nasional

Flat dikuasai penyewa warga asing diserbu

FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR: Ubah suai rumah yang memiliki sehingga enam bilik bagi menempatkan warga asing dengan kadar sewa antara RM200 hingga RM600 sebulan bagi satu bilik.

Itu situasi boleh dilihat di sebuah flat di Jalan Abraham Off Jalan Imbi, di sini, yang mengubah landskap kawasan berkenaan seperti berada di negara asing.

Seorang wanita warga Myanmar berusia lingkungan 20-an, memaklumkan dia menyewa sebuah bilik di flat berkenaan bersama dua anak serta suaminya sejak beberapa tahun lalu.

“Dalam rumah ini, ada empat bilik sederhana besar serta dua bilik kecil. Macam bilik saya sewa ini (sederhana besar), kadar sewa adalah RM600 sebulan, manakala bilik kecil pula antara RM200 hingga RM300 sebulan.

“Kebanyakan bentuk rumah di kawasan ini memang seperti ini dengan dibahagikan kepada beberapa bilik untuk disewa,” katanya ketika ditemui dalam serbuan Op Sapu, di sini, awal pagi tadi.

Seramai 115 pegawai dan anggota Imigresen yang dibantu pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terbabit dalam operasi itu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata dianggarkan kira-kira 3,000 warga asing tinggal dan bekerja di sekitar kawasan berkenaan.

“Dalam operasi ini, kami memeriksa seramai 1,051 warga asing dengan 544 daripadanya yang berusia antara setahun hingga 68 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.

Individu yang ditahan membabitkan warga Bangladesh, Myanmar, Nepal, Indonesia, Afghanistan, Pakistan dan Filipina.

Khairul Dzaimee berkata, daripada 544 pendatang asing tanpa izin (PATI) itu, seramai 30 kanak-kanak Myanmar bukan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) turut ditahan.

“Antara kesalahan dikesan dilakukan PATI dalam operasi itu adalah tiada dokumen pengenalan diri, salah guna pas dan tinggal lebih masa.”

Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.

Loading...
Terkini