@buletintv3 Kerajaan Naik Subsidi RM400 Seorang Bermula 1 Januari 2025 #beritaditiktok #buletintv3 #FLYsiswa #Subsidi ♬ original sound – BuletinTV3
Oleh: Fareez Azman
SHAH ALAM: Kerajaan bersetuju menaikkan kadar bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan menerusi FLYSiswa daripada RM300 kepada RM400 seorang bermula 1 Januari 2025.
Perkara itu diumumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam Karnival Pengangkutan Siswa MADANI di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam hari ini.
“Saya umumkan (bantuan subsidi pembelian tiket) naik RM400,” jelasnya secara ringkas.
Bantuan itu bakal memanfaatkan lebih 74,000 pelajar dari universiti awam, politeknik, Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan matrikulasi seluruh negara dengan implikasi kos sebanyak RM24 juta.
Tambah Anwar, Kerajaan MADANI sentiasa memberi perhatian kepada isu-isu melibatkan mahasiswa di negara ini.
Justeru, bantuan-bantuan yang disalurkan bagi meringankan beban mahasiswa perlu menumpukan penguasaan bidang ilmu demi kebaikan negara.
“Manusia layak mempunyai nilai kemanusiaan dan kemanusiawi, ini tumpuannya, sebab itu beban kita cuba ringankan, kita mahu anak-anak pusatkan perhatian (dalam bidang ilmu).
“Bagi saya ini satu permulaan bagaimana ekosistem, anak-anak menguasai bidang ilmu itu diberi kesempatan supaya kita boleh bersaing dengan gagah dan berjaya,” katanya.
Hadir sama dalam majlis itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan pengurusan tertinggi UiTM.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.