comscore
Tumpuan :
Nasional

Format baharu isytihar harta Ahli Parlimen, anggota pentadbiran dibentang dalam masa terdekat

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pengisytiharan harta anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen akan dikuatkuatkuasakan semula berdasarkan format baharu selaras prinsip ketelusan.

Menerusi kenyataan hari ini, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Format baharu ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, mesyuarat JKKTN turut membincangkan langkah pemantapan tata kelola badan berkanun persekutuan (BBP) melalui pengukuhan pelaksanaan peraturan dan prosedur pengurusan badan berkenaan.

Mesyuarat bersetuju satu garis panduan baharu untuk menggantikan Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1998 dengan menggariskan beberapa pembaharuan berhubung pengukuhan tata kelola.

Ia termasuk memperkukuh proses pelantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah BBP berdasarkan kriteria yang telus serta mewajibkan proses penilaian wajar melalui semakan keutuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), insolvensi dan tapisan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Program pembangunan kapasiti Ahli Lembaga Pengarah BBP turut ditekankan dalam garis panduan ini,” menurut kenyataan itu.

Pembaharuan lain merangkumi pemerkasaan peranan audit dalam secara menyeluruh di peringkat BBP termasuk syarikat dan perbadanan BBP, selain memperkukuh struktur dan komposisi keahlian Lembaga Pengarah dengan mewajibkan penglibatan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) khususnya kepada BBP yang menerima peruntukan Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT).

“(Antara pembaharuan) memperkukuh pengesanan, kawal selia dan tata kelola BBP melalui platform yang dikenali sebagai Sistem Badan Berkanun (SBSys) bagi tujuan pelaporan berkala kepada Perdana Menteri,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, jelas Pejabat Perdana Menteri, badan berkanun adalah antara cabang sektor awam yang penting dan memerlukan pengurusan tata kelola yang baik.

Sumbangan badan berkanun sebagai badan awam bukan sahaja mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara tetapi ia juga menjadi penyokong kepada pelaksanaan strategi agensi pusat serta jabatan kerajaan lain.

“Melalui Pantau MADANI, pemantauan BBP akan dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui pemerkasaan peranan ICU JPM, Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi JPM (PACU JPM).

“Pelaksanaan Garis Panduan ini adalah menjadi keutamaan untuk mendukung agenda MADANI melalui pemerkasaan BBP.

“Kerajaan kekal komited untuk memperkukuh agenda tata kelola baik selaras aspirasi Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

Loading...
Terkini