comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

FTV Tumpat Berdarah papar kisah permusuhan dua pemilik kilang padi

Dari kiri, Saniboey, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, Sabri, Razif Kasmar dan Latiff Mohaideen pada majlis pratonton tayangan filem televisyen (FTV), Tumpat Berdarah di pejabat Razor’s Edge Pictures, baru-baru ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Filem Televisyen (FTV) berjudul Tumpat Berdarah yang menjadikan kisah permusuhan antara dua pemilik kilang padi di Tumpat, Kelantan untuk menguasai perniagaan sejak 1961 sehingga tercetusnya dendam tradisi dua keluarga pasti akan menimbulkan keinginan menontonnya hingga selesai.

Filem televisyen yang bakal ditayangkan di platform penstriman, Tonton tidak lama lagi ini turut mengetengahkan keistimewaan dikir barat di Kelantan.

Tumpat Berdarah adalah cetusan idea penerbit Razor’s Edge Pictures, Datuk Saniboey Mohd Ismail dan diarahkan oleh Sabri Yunus.

Filem yang menjalani penggambaran 14 hari sekitar Tumpat dan Kota Bharu, Kelantan itu dimulakan dengan babak yang memaparkan persengketaan Wan Nawang lakonan Z Zamri dan Mat Tok Kaya (Muhamad Zaidi Yunus) dalam lokap.

Perseteruan tidak terhenti, malah disambung oleh anak mereka iaitu Nuari yang juga anak Mat Tok Kaya (Issey Fazlisham) dan Wan Nawi, anak Wan Nawang (Asrul Faizal).

Lebih memburukkan keadaan apabila adik Nuari iaitu Anis (Oktovia Manrose) menjalin hubungan cinta dengan adik Wan Nawi iaitu Wan Zaki (Mathni Razak).

Kekuatan filem Tumpat Berdarah terletak kepada Issey, Asrul dan Sabri kerana memiliki bakat sebagai tukang karut dalam kumpulan dikir barat.

Boleh dikatakan, kekuatan Tumpat Berdarah dilihat terletak kepada Issey dan Asrul kerana memiliki bakat sebagai tukang karut dalam kumpulan dikir barat.

Masing-masing cemerlang menghidupkan watak sebagai musuh tradisi, sekali gus menjadi penghalang terbesar kepada kisah percintaan adik mereka.

Kedegilan Anis dan Wan Zaki untuk meneruskan percintaan dengan mengabaikan permusuhan antara keluarga mendapat tentangan hebat abang termasuk ibu bapa, sekali gus menjadi pendakian plot cerita yang lebih memukau.

Turut diselitkan, paparan keindahan perkampungan sekitar daerah Tumpat dan Kota Bharu dengan teknik kamera sehingga berjaya memberi manifestasi sebenar mengenai keindahan negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Selain memberi tumpuan kepada jalan cerita, elemen seperti itu dilihat sebagai usaha mempromosikan pelancongan di Kelantan, malah keseluruhan barisan pelakon adalah anak jati negeri itu.

Antara babak dalam filem Tumpat Berdarah yang bakal disiarkan dalam platform penstriman, Tonton tidak lama lagi.

Lebih mencuri tumpuan diselitkan babak aksi pada pertengahan filem membabitkan Wan Zaki dan Nuari bersama konconya yang mampu membangkitkan keinginan untuk terus menonton.

Seperti filem lain, Tumpat Berdarah tidak terkecuali dengan penamat gembira, namun apa yang unik penyatuan dua keluarga dileraikan menerusi persembahan dikir barat.

Guru dikir barat, Nik Dir (Sabri Yunus) menjadi watak penting untuk menyatukan kedua-dua keluarga.

Segala persengketaan terjadi sejak puluhan tahun lalu dirungkai oleh Nik Dir menerusi persembahan dikir barat selama 15 minit di penghujung filem.

Ia adalah babak ‘eksperimen’ yang cuba dibawa penerbit, selain memaparkan Wan Zaki dan Nuari yang saling mengakui kesilapan menerusi dikir barat.

Secara peribadi, keseluruhan filem berjaya mengetengahkan budaya masyarakat Kelantan di samping memberi pengajaran bahawa konflik tercetus tidak wajar bersambung dan diteruskan oleh generasi anak cucu.

Loading...
Terkini