comscore
Tumpuan :
Nasional

Fungsi J-KOM diteliti semula, ubah modus operandi – Fahmi

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Fungsi Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) akan diteliti semula dan diselaras dalam tempoh terdekat selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, masih terlalu awal untuk beliau membuat sebarang pengumuman berkaitan perkara terbabit.

“Kami dalam proses melakukan penyelarasan dalaman oleh sebab J-KOM di bawah Kementerian Komunikasi dan beberapa fungsi, tugas, objektif dan matlamat adalah perlu diselaras semula maka selepas ini kita akan ubah modus operandi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Jelasnya, penyelarasan itu akan mengambil sedikit masa dan beliau percaya manfaatnya pada masa akan datang adalah positif.

Terdahulu, media melaporkan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi mengesyorkan supaya J-KOM dirombak semula khususnya selepas mendakwa mengenai kewujudan ‘Langkah Dubai’.

Beliau menyifatkan dakwaan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) J-KOM, Datuk Ismail Yusop itu ‘cetek’ dan menyebabkan kerajaan dalam keadaan defensif apabila beberapa nama dalam kerajaan disebut-sebut terbabit dalam gerakan itu.

Ditanya sama ada tindakan disiplin akan diambil terhadap Ismail, Fahmi berkata, “Apa yang telah berlaku, telah berlaku dan insya-Allah tidak akan berulang.”

Sebelum ini, Ismail dilaporkan mendakwa gerakan menumbangkan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dubai turut membabitkan tokoh politik veteran berpengaruh bergelar Tun menggunakan dana asing.

Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada ‘ejen’ untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata, beliau maklum berkaitan ‘Langkah Dubai’, namun baginya gerakan yang dikatakan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan itu tidak langsung memberi kesan kepada pentadbirannya.

Loading...
Terkini