comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Gaduh di kafe siber, polis tahan dua suspek


IPOH: Polis sudah menahan dua daripada lima suspek dipercayai terbabit dalam pergaduhan di sebuah kafe siber, di kawasan Buntong, di sini hingga video rakaman kejadian turut tular di media sosial.

Penahanan suspek berusia 19 dan 20 tahun itu dibuat sekitar Buntong, dalam tempoh kurang 24 jam selepas pergaduhan itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya semalam mengesan hantaran yang tular di media sosial mengenai kejadian yang berlaku dalam kedai permainan komputer itu.

Beliau berkata, semakan mendapati laporan kejadian itu diterima dari seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun dengan kejadian berlaku di kafe siber di Buntong, kira-kira jam 10.15 malam Isnin lalu.

Katanya, berdasarkan laporan itu lelaki berkenaan yang difahamkam bersama beberapa rakannya cedera akibat diserang dengan pisau oleh lima lelaki semasa mereka sedang bermain permainan komputer di situ.

Jelasnya mangsa yang membuat laporan itu cedera akibat tikaman senjata tajam di lengan dan perut hingga menerima tujuh jahitan; manakala ada rakannya yang parah mrmbabitkan remaja berusia 18 tahun.

“Semasa pengadu bersama rakannya sedang bermain permainan komputer, mereka didatangi lima lelaki warga tempatan yang bertindak menyerang pengadu dan rakannya itu.

“Berikutan  itu, pengadu dan rakannya mengalami kecederaan akibat diserang dengan pisau,” katanya dalam kenyataan hari ini dengan menambahkan bahawa motif kejadian masih disiasat.

Tambahnya kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana perbuatan merusuh, selain turut meminta masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelak kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta menganggu siasatan.

Beliau dalam pada itu menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil memberi keterangan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Izzat Ayob di talian 014-3218969 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Berdasarkan video berdurasi 1.30 minit yang ditularkan, rakaman dipercayai dari kamera litar tertutup (CCTV) itu memperlihatkan beberapa lelaki bertopi keledar mendatangi lalu terus menyerang mangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini