comscore
Tumpuan :
Nasional

Gaduh di kedai makan, dua lelaki didenda RM500

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Dua lelaki didenda RM500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan melakukan kekecohan dan bergaduh sehingga mengganggu ketenteraman awam, minggu lalu.

Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, S Lohes, 38, dan K Sivanathan, 40, selepas mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama empat lagi yang masih bebas melakukan gaduh gempar dengan cara membuat kekecohan dan bergaduh sehingga menggangu ketenteraman awam.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah tempat awam iaitu sebuah restoran di Jalan Impian Emas 5/6, Taman Impian Emas, Skudai di sini, kira-kira jam 11.50 malam, 26 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 27 Januari lalu, tular satu rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki yang terbabit dalam satu insiden pergaduhan di sebuah kedai makan, namun berjaya melarikan diri sebaik pihak polis tiba di lokasi kejadian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini