comscore
Tumpuan :
Nasional

Gagal Kawal Kemasukan Pelanggan, Pemilik Inap Desa Dikompaun RM20,000

Pemilik sebuah inap desa di Kampung Lembah di sini dikompaun RM20,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata ketika serbuan dilakukan pada tengah hari semalam, seorang lelaki 40 tahun yang merupakan pemilik premis didapati gagal mengawal kemasukan pelanggan ke dalam premisnya.

Menurutnya, seramai 10 pelanggan yang berada di dalam premis turut dikompaun kerana tidak mengimbas kod QR MySejahtera dan tiada penjarakan fizikal.

“Pemilik premis dikompaun RM20,000 manakala semua pelanggan yang berumur 20 hingga 40 tahun itu masing-masing dikompaun RM4,000,” katanya kepada dalam  kenyataan  hari ini.

Sementara itu, Noorzainy berkata polis berjaya menahan dua lelaki warga emas, masing-masing berusia 61 tahun dan 66 tahun, yang cuba merentas negeri tanpa surat kebenaran yang sah.

Katanya kedua-dua lelaki itu dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ditahan di sekatan jalan raya di Jalan Sungai Nyior kerana cuba merentas negeri tanpa dokumen rentas negeri.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu bagi memastikan SOP PKP dipatuhi dalam usaha menyekat penularan wabak pandemik COVID-19,” katanya. — BERNAMA

Loading...
Terkini