comscore
Tumpuan :
Nasional

Gajah betina jatuh longkang diselamatkan PERHILITAN

 

GERIK: Seekor gajah betina berjaya diselamatkan selepas didapati terperangkap akibat terjatuh di dalam longkang di kawasan Batu 11 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, berhampiran kawasan Tugu Peringatan JRTB, di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Yusoff Shariff, berkata pihaknya menerima aduan mengenai insiden itu yang berlaku pagi hari ini.

Menurutnya, selain Perhilitan, kerja menyelamatkan gajah betina itu turut dibantu dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk polis.

“Ya, benar PERHILITAN ada menerima aduan berhubung insiden itu pagi tadi di mana gajah berkenaan cuba keluar dari longkang itu namun tidak boleh.

“Gajah itu pun kami sudah berjaya selamatkan. Selain Perhilitan, kerja menyelamat gajah itu turut mendapat kerjasama beberapa agensi lain termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), polis, dan syarikat konsesi iaitu Belati Wangsa,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Insiden gajah terperangkap dalam longkang berkenaan tular di media sosial termasuk WhatsApp menerusi beberapa imej serta video memaparkan gajah berkenaan cuba diselamatkan apabila dilihat berada dalam longkang.

Visual yang ditularkan itu memaparkan seekor gajah seakan seperti ingin keluar naik ke atas dari dalam longkang namun gagal.

Sementara itu, difahamkan lokasi berkenaan sememangnya merupakan kawasan rayau gajah liar yang mendiami Hutan Simpan Amanjaya, Gerik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini