comscore
Tumpuan :
Nasional

Gajah tiba-tiba mengamuk serang kakitangan Zoo Kemaman

Rohaya Mohd Noor menunjukkan kecederaan yang dialami suaminya, Musbaha yang diserang gajah di Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman, Ahad lalu. – FOTO : ROSLI ILHAM

KEMAMAN: Seekor gajah yang diberi nama ‘Talong’ tiba-tiba menyerang seorang kakitangan Zoo Kemaman, Musbaha Din walaupun dia sudah menjaga gajah berkenaan sejak 11 tahun lalu.

Musbaha, 37, cedera parah selepas diserang gajah jantan berkenaan di Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman.

Dia yang bekerja sebagai penjaga gajah di zoo terbabit berkata, kejadian pada Ahad lalu ketika sedang memandikan gajah seberat 1.5 tan itu kira-kira jam 8.30 pagi.

“Sebelum kejadian, saya bersama tiga rakan setugas masuk ke kandang untuk memandikan ‘Talong’ dan seekor lagi gajah dewasa dan kedua-dua haiwan itu kelihatan jinak seperti biasa.-Berita Harian

Namun, tiba-tiba ‘Talong’ yang berusia 13 tahun itu tiba-tiba meluru menyerang saya yang menyebabkan saya mengalami kecederaan di bahagian perut akibat ditusuk dengan gading gajah terbabit,” katanya.

Beliau berkata, tindakan gajah terbabit yang menghimpit badannya pada sebatang tiang di situ turut menyebabkan dia tidak mampu bergerak dan melarikan diri.

“Kawan-kawan saya berusaha membantu meredakan gajah terbabit supaya tidak lagi menyerang saya dan beberapa minit selepas itu haiwan berkenaan akhirnya melepaskan sebelum dibawa ke Hospital Kemaman.

“Saya menjalani pembedahan dan menerima 15 jahitan di bahagian perut dan dirawat selama seminggu di Hospital Kemaman sebelum dibenarkan pulang Sabtu lalu,” katanya.

Musbaha berkata, pegawai perubatan memaklumkan tusukan gading gajah itu menembusi sehingga ke lapisan kedua perut.

“Nasib baik saya sempat mengelak dan hanya kena satu tusukan sahaja, kalau kena dua-dua tusukan gading gajah itu, sudah tentu nyawa saya akan melayang,” katanya.

Beliau juga berkata, dia tidak tahu kenapa gajah terbabit bertindak demikian sedangkan gajah itu sangat mesra dengannya kerana sudah 11 tahun menjaga gajah terbabit.

“Sudah 13 tahun saya berkerja di situ dan ia menjadi satu sejarah yang sukar saya lupakan dan saya akan terus bertugas di sini sebaik kesihatan saya kembali pulih sepenuhnya,” katanya.- Berita Harian

Loading...
Terkini