comscore
Tumpuan :
Nasional

Gaji Dan Imbuhan Dalam Skim Kejuruteraan Perkhidmatan Awam Dikaji Semula

Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR : Gaji dan imbuhan dalam skim Kejuruteraan Perkhidmatan Awam perlu dikaji semula dengan mengambil kira faktor-faktor semasa antaranya kepakaran kejuruteraan dan kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memandang serius isu gaji permulaan jurutera yang rendah kerana ia mampu menjejaskan golongan muda menceburi profesion berkenaan.

“Perkara in boleh menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara kerana nisbah seorang jurutera berbanding penduduk di Malaysia, adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara Jepun dan Jerman.” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 di ibu negara, malam tadi.

Turut hadir dalam majlis itu Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalannya, Datuk Arthur Joseph Kurup; dan Yang Dipertua Lembaga Jurutera Malaysia, Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman.

Datuk Seri Ismail turut menyarankan usaha lebih agresif dan serius dilakukan bagi melantik lebih ramai jurutera mengisi jawatan-jawatan strategik dan pembuat dasar di perkhidmatan awam.

Malah, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga disarankan melantik kalangan jurutera mengisi jawatan pengurusan atasan syarikat seperti ahli Lembaga Pengarah dan juga Ketua Eksekutif.

Dalam usaha memartabatkan profesion itu juga, beliau berkata jurutera Malaysia
perlu lebih agresif untuk berinovasi dan menghasilkan produk dan teknologi yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

Kerajaan sentiasa menggalakkan usaha-usaha penelidikan dan pembangunan (R&D) agar Malaysia bukan lagi menjadi sekadar pengguna teknologi tetapi sebaliknya pencipta dan pengeluar teknologi.

Perdana Menteri berkata, profesion jurutera memberi sumbangan signifikan terhadap negara yang kini menikmati kemajuan besar, bukan sahaja dalam bidang ekonomi tetapi juga teknologi kejuruteraan.

Jelasnya, kepakaran jurutera tempatan membolehkan sektor infrastruktur, pembuatan, telekomunikasi, petroleum dan jana kuasa dibangunkan sehingga dapat menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.

“Ini bukan sahaja membantu memacu ekonomi negara tetapi juga meningkatkan kualiti hidup Keluarga Malaysia agar setanding negara lain, dengan LJM bertindak sebagai pengawal selia profesion berkenan,” katanya.

Beliau berkata, bidang kejuruteraan menuntut prinsip kecekapan, penelitian dan kebolehan menyelesaikan masalah yang kompleks, sekali gus menjadi asas utama kepada kejayaan pemimpinnya.

Loading...
Terkini