comscore
Tumpuan :
Nasional

Gaji minimum bukan alat tangani kos sara hidup

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman

PUTRAJAYA: Bukan satu alat untuk menangani peningkatan kos sara hidup, sebaliknya gaji minimum RM1,500 adalah bagi memastikan tidak ada pekerja dibayar lebih rendah dari kadar ditetapkan kerajaan.

Presiden Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, kerajaan sudah mengambil langkah wajar untuk mengawal peningkatan kos sara hidup.

Katanya, masyarakat juga sedia maklum tentang kos sara hidup semakin meningkat dan ini memberi tekanan kepada sejumlah besar mereka .

“Dasar yang berkaitan dengan pelaksanaan program RAHMAH dapat memastikan isu kos sara hidup yang tinggi dapat ditangani dengan lebih baik,” katanya kepada BH hari ini.

Syed Hussain berkata, Perusahaan Mikro dan Sederhana Kecil (PMKS) juga masih bergelut dengan usaha memulihkan perniagaan kesan buruk pandemik COVID-19 dan banjir besar pada akhir Disember 2021.

Katanya, keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 ke Julai akan menjadikan PMKS lebih mampan dan lebih berdaya tahan.

“Kebanyakan majikan terutamanya majikan PMKS tidak mempunyai aliran wang tunai kukuh untuk menanggung kos kos tambahan dan amat berharap kepada insentif dan subsidi dari Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Syed Hussain berkata majikan hendaklah dibantu untuk memastikan mereka dapat terus beroperasi dan pada masa yang sama memastikan dapat terus mengaji pekerja yang sedia ada .

Mengenai tafsiran sendiri tempoh kerja 45 jam, beliau berkata, isu sama ada waktu rehat atau makan adalah sebahagian atau di luar waktu bekerja jam di bawah Akta Kerja (AK) 1955, ia bergantung kepada jenis pekerjaan pekerja.

Katanya, Proviso Seksyen 60A (1) AK memperuntukkan seseorang pekerja yang terbabit dalam kerja mesti dijalankan secara berterusan dan memerlukan kehadirannya berterusan mungkin dikehendaki bekerja selama lapan jam berturut-turut termasuk tempoh atau tempoh tidak kurang daripada empat puluh lima minit dalam agregat ketika dia akan mempunyai peluang untuk makan.

“Berdasarkan proviso di atas kepada Sek 60A (1) AK, di mana seseorang pekerja terbabit dalam kerja mesti dijalankan secara berterusan dan memerlukan kehadirannya yang berterusan.

“Waktu bekerja adalah termasuk waktu rehat makan tidak kurang daripada empat puluh lima minit dalam agregat di mana pekerja akan mempunyai peluang untuk makan.

“Pengawal keselamatan dan penjaga dandang adalah contoh kerja yang memerlukan kerja itu dilakukan secara berterusan dan memerlukan kehadiran pekerja berterusan.

“Oleh itu, rehat makan akan dianggap sebagai sebahagian daripada waktu bekerja. Bagaimanapun, jika kerja tidak perlu dilakukan secara berterusan dan tidak memerlukan kehadiran pekerja yang berterusan, rehat makan tidak akan dianggap sebagai sebahagian daripada waktu bekerja,” katanya.

Loading...
Terkini