comscore
Tumpuan :
Nasional

Gaji minimum bukan gaji permulaan untuk semua pekerja – Sim

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim

PERMAISURI: Kerajaan mengingatkan majikan supaya tidak menjadikan kadar gaji minimum yang baharu sebagai gaji permulaan kepada semua pekerja termasuk siswazah.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 Jumaat lalu, merupakan gaji untuk pekerja asas dengan kelayakan akademik dan kemahiran rendah termasuk pekerja sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).

“Jadi kita sarankan supaya (pekerja) diberikan gaji setimpal berdasarkan kemahiran atau kelulusan akademik yang ada.

“Jangan jadikan gaji minimum sebagai penanda aras kepada gaji permulaan kepada semua pekerja… Ini (penyelarasan gaji minimum) adalah strategi untuk pekerja paling asas iaitu 4.35 juta pekerja yang masih mendapat gaji di bawah RM1,700.

“Saranan pemberian gaji selaras dengan kelayakan akademik, peranan kerja dan kemahiran ini adalah untuk kebaikan syarikat juga sebab kalau tak diberi gaji setimpal, akan berlaku kes seperti aliran keluar bakat kita dan sebagainya. Kita (majikan) juga tidak dapat bakat dan tenaga kerja yang baik,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis Pecah Tanah Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Wilayah Timur di Merang di sini, hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari depan dan 1 Ogos 2025 kepada majikan atau usahawan kecil yang mempunyai lima orang pekerja ke bawah.

Sim juga berkata tempoh penyelarasan gaji yang diberikan itu adalah munasabah dan mencukupi serta majikan diingatkan supaya mematuhi arahan yang ditetapkan.

Beliau juga menggesa mana-mana pihak terutama pekerja yang mengetahui terdapat pelanggaran undang-undang berkaitan perburuhan termasuk gaji minimum supaya melaporkan kepada Kementerian Sumber Manusia terutama Jabatan Tenaga Kerja supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Kenaikan kadar gaji minimum, katanya bukan mahu membebankan golongan majikan namun ia antara lain memberikan pekerja kuasa membeli yang lebih tinggi seterusnya secara tidak langsung membawa limpahan ekonomi kepada usahawan dan syarikat kecil setempat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini