comscore
Tumpuan :
Nasional

Gaji minimum RM1,500 bukti keprihatinan kerajaan

Berkuat kuasa 1 Mei lalu, gaji minimum RM1,500 dilaksanakan dan ia diwartakan menerusi Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 27 April lalu adalah antara hasil usaha keras kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa 1 Mei lalu, gaji minimum RM1,500 dilaksanakan dan ia diwartakan menerusi Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 27 April lalu.

Semua itu antara hasil usaha keras kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Melaluinya, pekerja memperoleh lebih banyak manfaat daripada segi gaji yang mana lebihan diterima boleh digunakan untuk perbelanjaan keluarga dan lain-lain keperluan.

Pelbagai reaksi diberikan dan untuk golongan pekerja, ia memberikan pelbagai kebaikan kepada mereka.

Pekerja bengkel, Muhamad Khairul Anwar, 28, berkata, kenaikan daripada RM1,200 kepada RM1,500 cukup dinantikan golongan pekerja sepertinya yang tinggal serta bekerja di Lembah Klang.

“Pewartaan gaji minimum RM1,500 ini antara keprihatinan yang dibuktikan oleh kerajaan kepada golongan pekerja.

“Saya bersyukur dengan kenaikan RM300 ini kerana ia sedikit sebanyak membantu menampung keperluan harian saya, isteri serta anak-anak.

“Saya berharap, satu masa nanti, gaji minimum dapat dinaikkan kepada RM1,800 bagi pekerja di Lembah Klang, sesuai dengan kos sara hidup,” katanya.

Seorang lagi pekerja yang mendapat manfaat gaji minimum RM1,500 ialah Syaidatul Khumaira Zamberi, 18, yang bertugas sebagai pegawai khidmat pelanggan.

Katanya, dia mula bekerja dengan gaji RM1,300 di sebuah syarikat kewangan di Puchong, Selangor.

“Bila ada kenaikan RM200, ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan seisi rumah kerana saya tinggal bersama ibu bapa yang sudah bersara.

“Syarikat juga, selain mengikut saranan kerajaan, mereka menyediakan komisen dan elaun kedatangan yang menjadikan saya lebih komited terhadap pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, jika kenaikan gaji tahunan adalah RM100, dalam tempoh lima tahun, gaji minimum seseorang pekerja itu akan meningkat kepada RM2,000.

“Menerusinya, Malaysia boleh dilihat sebagai negara maju kerana gaji minimum kita antara yang tertinggi di Asean,” katanya.

Menurut beliau, selain gaji minimum, penyelesaian lain untuk kenaikan gaji pekerja ialah dengan menghantar mereka mengikuti latihan kemahiran.

Kata beliau, ia juga boleh meningkatkan jawatan baharu, gaji serta pengenalan teknologi yang membantu meningkatkan produktiviti pekerjaan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini