Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) bersetuju menetapkan gaji premium kepada lepasan bidang itu pada kadar antara RM2,500 hingga RM4,000.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, penetapan gaji itu bergantung kepada institusi TVET dengan pihak syarikat.
“Saya ingin menjelaskan bahawa ini bukan ikut persatuan majikan, persatuan kilang atau sebagainya, ini adalah antara institusi TVET dengan pihak syarikat itu sendiri,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan sesi libat urus 66 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta bersama 12 kementerian TVET, di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid mempengerusikan MTVET yang dihadiri jemaah menteri dan timbalan menteri.
Mengulas lanjut, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, penetapan gaji tersebut dibuat bagi menarik lebih ramai lepasan TVET untuk bekerja di sektor berkenaan.
“Setakat ini, kita sudah mengadakan memorandum perjanjian (MoA) dengan majikan yang mana gaji premium dipersetujui melebihi gaji minimum (RM1,500) ditetapkan Kementerian Sumber Manusia,” katanya.
Sementara itu, mesyuarat secara dasar bersetuju supaya kursus asas TVET dimasukkan dalam modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seperti dicadangkan oleh Kementerian Pertahanan.
Menurut Ahmad Zahid, perkara tersebut akan diperincikan oleh sebuah jawatankuasa kecil.
“Kita ambil keputusan bahawa kursus itu bukan dibuat secara mendalam, tetapi lebih kepada DIY (do it yourself) seperti pembaikan paip, penyaman udara dan peralatan elektrik,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.