comscore
Tumpuan :
Nasional

Galeri Prima serah 107 cetakan asal karya Lat

BATU GAJAH: Galeri Prima menyerahkan sebanyak 107 cetakan lukisan asal kartunis tersohor negara, Datuk Mohammad Nor Khalid atau Datuk Lat kepada pihak Galeri Rumah Lat bagi tujuan pameran kepada orang ramai.

Cetakan semula berkenaan adalah hasil lukisan Lat sepanjang sedekad beliau berkhidmat di akhbar Berita Harian (BH) dan New Straits Times (NST) sejak 1974 hingga 1984.

Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, berkata Lat yang dianugerahkan gelaran Seniman Diraja oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah baru-baru ini terbukti berjasa besar kepada negara melalui medium kreatif tersendiri.

“Kartun Datuk Lat memupuk perpaduan, kita boleh lihat pelbagai bangsa yang ada dalam fikiran Datuk Lat merakam kehidupan dan pergaulan masyarakat majmuk dalam kehidupan seharian secara santai.

“Malah, karya beliau berkesan merapatkan silaturahim antara masyarakat Malaysia yang berbagai bangsa dan sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya selepas menyerahkan cetakan lukisan asal kepada Datuk Lat, di Galeri Rumah Lat, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Karim serta Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Azhari Muhidin.

Sementara itu, Lat mengakui berasa terharu atas kebenaran menggunakan lukisan hak cipta kumpulan New Straits Times Press (NSTP) bagi dipertontonkan kepada masyarakat umum di galeri seliaan Jabatan Muzium Perak itu.

Katanya, lukisan kartun yang dihasilkannya sepanjang berkhidmat di BH dan NST boleh dianggap perakam sejarah mengenai peristiwa penting, di samping menghiburkan hati pembaca akhbar pada waktu itu.

“Saya tak terfikir akan berlaku dahulu, tapi akhirnya dengan budi bicara pihak Media Prima dan NSTP kita dapat melihat lukisan-lukisan lama saya,” katanya.

Loading...
Terkini