KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin diarah keluar Dewan selepas mengganggu sesi penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Ia selepas Radzi membidas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan memfitnah dirinya.
Arahan itu dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas Radzi enggan mendengar arahan supaya duduk dan memberi peluang kepada Anwar meneruskan sesi penggulungannya tanpa diganggu.
Rentetan arahan itu, beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan terbabit, bertindak keluar dari Dewan Rakyat.
Terdahulu Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun ketika itu memberikan penerangan mengenai isu Ahmad Zahid yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram baru-baru ini.
Kata Anwar, isu mengenai apa yang dibincangkan di antara dia dengan peguam negara sebelum ini, Idrus Harun, dibangkitkan oleh Hamzah Zainudin (PN-Larut).
Menurut Anwar, apabila Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk menghentikan prosiding mahkamah membabitkan Ahmad Zahid, dia bertanya kepada Idrus.
Kata Anwar, Idrus selaku peguam negara ketika itu mengakui memberikan arahan berkenaan.
“Saya bukan berbincang mengenai keputusannya (menghentikan prosiding), saya (cuma) tanya alasan, minta penjelasan (dan) can you defend it (adakah kamu boleh mempertahankan keputusan tersebut)?” kata Anwar.
Ketika itu Radzi ketawa apabila mendengar kata-kata Anwar.
“You boleh gelak… you boleh gelak Putrajaya, kerana you buat perkara itu.
“Semasa pentadbiran (PN) you buat perkara itu,” dakwa Anwar.
Kenyataan itu dibantah oleh Radzi yang bingkas berdiri dan mendesak Anwar menarik balik kata-kata berkenaan.
Radzi yang juga bekas menteri kanan semasa kerajaan PN mendakwa kenyataan dibuat Anwar itu berniat jahat kerana menuduh dia melakukan salah laku.
Keadaan menjadi kecoh selama lebih 20 minit dengan ahli parlimen dari kedua-dua blok saling bertegang leher, sama ada mendesak Anwar menarik balik kenyataannya atau mempertahankan Perdana Menteri.