comscore
Tumpuan :
Nasional

Gangguan air mungkin hingga 48 jam – KM Pulau Pinang

FOTO: NSTP

GEORGE TOWN: Pemulihan bekalan air membabitkan 120,000 akaun pengguna di daerah Barat Daya di sini, dijangka akan mengambil masa antara 24 jam hingga 48 jam.

Ia berikutan kerja fizikal pengalihan saluran paip di Sungai Perai dekat sini, dijadual bermula 11.30 malam esok.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya juga menjangkakan beberapa lokasi terutama membabitkan kawasan hujung laluan (EoL) berkemungkinan mengambil masa lebih 48 jam berdasarkan pengalaman beberapa insiden sebelum ini.

“Kerja fizikal akan mengambil masa 16 jam dan dijangka siap pada 2 petang Rabu sebelum air dapat disalurkan seperti biasa yang akan mengambil antara 24 hingga 48 jam.

“Akan ada kawasan yang mungkin terima bekalan semua lebih daripada 48 jam sebab kita sudah melalui proses ini dan sekarang buat kali keempat.

“Kita doakan agar kerja-kerja penyambungan dapat dipendekkan daripada jadual asal (16 jam) dan paip terbabit mampu berfungsi dengan baik kerana ia membabitkan lencongan dari paip asal 1,300 milimeter (mm) kepada dua paip 600mm,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek menaik taraf Taman Linear hari ini.

Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, pemasangan paip sementara itu dijangka berfungsi sekurang-kurangnya lapan bulan sementara menunggu projek baharu menggantikan paip di dasar Sungai Perai siap.

“Ini mungkin akan menjejaskan tekanan air tetapi kita harap bekalan air ke kawasan terkesan dapat dipulihkan untuk satu tempoh yang panjang sebelum projek kekal membabitkan penggantian paip merentasi Sungai Perai dilaksanakan kelak.

“Projek menggantikan paip dipasang merentasi Sungai Perai di atas darat membabitkan empat lokasi yang akan diumumkan kemudian apabila kita selesai merancang dan melaksanakan projek sementara ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, gangguan bekalan air disebabkan kebocoran besar pada saluran paip 1,350mm di dasar sungai Sungai Perai, Selasa lalu telah dipulihkan sepenuhnya pagi ini.

Jelasnya Balik Pulau menjadi tempat terakhir mendapat air dengan PBAPP hanya dapat melepaskan air dari Tadahan Genting pagi ini memandangkan kedudukan paipnya paling hujung, selain kapasiti yang agak besar mengambil masa untuk diisi secukupnya sebelum ia dapat disalurkan ke sebahagian besar lokasi terbabit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP,  K Pathmanathan berkata, pihaknya telah bersedia untuk menggerakkan lebih 22 tangki jumbo berkapasiti 50,000 liter setiap satu selain 16 tangki fleksi berkapasiti 24,000 liter bagi sebuah tangki sepanjang tempoh gangguan air.

“Selain itu, kita juga masih ada lori tangki daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang turun padang membantu, sebanyak lapan buah selain sembilan lori tangki PBAPP serta Pasukan Bomba Sukarela dengan jumlah keseluruhan 34 lori tangki,” tambahnya..

Semalam, PBAPP menangguhkan pelaksanaan gangguan bekalan air berjadual yang sepatutnya bermula 11.30 malam ini untuk tugas pengalihan saluran paip berkenaan bagi memberi lebih masa kepada pengguna yang bakal terjejas membuat persediaan menyimpan air.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini