comscore
Tumpuan :
Nasional

Gangguan bekalan air berjadual 5 Jun, babit pengguna 7 wilayah

 

Foto hiasan

SHAH ALAM: Air Selangor mengingatkan pengguna di tujuh wilayah di negeri ini mengenai pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pada 5 Jun depan.

Air Selangor dalam kenyataan berkata, pelaksanaan kerja-kerja berkenaan akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di Wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor bermula jam 9 pagi.

Menurutnya, kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset ini dijangka akan siap pada jam 7 malam pada hari sama.

“Pengguna dijangka akan menerima bekalan air secara berperingkat-peringkat bermula pada 3 pagi, 6 Jun (Khamis) selepas kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset siap, dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air distabilkan.

“Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka akan mencapai sekitar 20 peratus pada jam 3 petang, 6 Jun (Khamis) diikuti dengan 90 peratus pada jam 3 pagi, 7 Jun (Jumaat).

“Waktu pemulihan penuh bagi kawasan terbabit adalah dijangka pada jam 12 tengah hari, 7 Jun (Jumaat),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi Air Selangor, hari ini.

Menurut kenyataan itu, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

“Air Selangor akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Justeru, Air Selangor ingin menasihatkan pelanggan yang terjejas untuk bersedia dengan menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

“Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor di wilayah yang terjejas.

“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka di Braemar Estate (wilayah Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (wilayah Sepang), serta Taman Banting Baru (wilayah Kuala Langat),” katanya.

Katanya, pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini daripada semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/.

“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat menerusi saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini