comscore
Tumpuan :
Nasional

Gangguan Bekalan Air Di KKIA Hingga 26 Oktober

KOTA KINABALU: Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menghadapi gangguan bekalan air berikutan kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air Moyog hingga 26 Oktober ini.

Malaysia Airports Holdings Berhad dalam ciapan di Twitter hari ini memaklumkan dalam tempoh itu semua kedai makanan dan minuman akan menggunakan pinggan mangkuk pakai buang sebagai usaha menjimatkan air.

“Bagaimanapun orang ramai tidak perlu risau sebab pilihan makanan kami tetap pelbagai dan sedap,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Jabatan Air Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan kerja penyelenggaraan oleh pihaknya di loji air berkenaan buat sementara akan menyebabkan pengeluaran air terawat berkurangan lapan peratus daripada 185 juta liter kepada 170 juta liter sehari.

Menurut kenyataan itu pelanggan di kawasan terjejas terutama di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan akan mengalami tekanan air rendah hingga kerja-kerja penyelenggaraan itu selesai.

Antara tempat dikenal pasti terjejas adalah Terminal 1 KKIA, KK City City Centre, Kepayan, Tanjung Aru, kampung budaya Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah, Signall Hill, Likas, Kolombong, Donggongan, Apartment Country Height, Apartment Beverly Hills dan Kampung Ketiau.

“Pelanggan di kawasan terjejas dinasihatkan menyimpan air secukupnya dan berjimat menggunakan air, sebarang pertanyaan hubungan talian careline 24 jam kami 088-326888,” menurut kenyataan itu.

Loading...
Terkini