comscore
Tumpuan :
Nasional

Gangguan LRT : 38 set tren LRT diuji hari ini

Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PETALING JAYA : Sebanyak 38 set tren Transit Aliran Ringan LRT di sepanjang laluan Kelana Jaya dengan jarak 5 minit antara setiap set tren akan diuji hari ini bagi memastikan kestabilan dan keselamatan sistem berfungsi baik.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, sistem isyarat dan komunikasi dalam keadaan baik dan menjangkakan pengoperasian normal bagi semua 38 hingga 40 tren LRT itu tidak lama lagi.

“Saya boleh melaporkan bahawa sistem isyarat dan komunikasi dalam keadaan baik dan berkemungkinan besar kita dapat kembali kepada pengoperasian normal kesemua 38-40 tren di sepanjang laluan Kelana Jaya tidak lama lagi.” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Katanya, pengujian sistem kawalan tren automatik (ATC) oleh pihak Rapid Rail itu dilakukan bermula pada jam 11 malam semalam hingga jam 5 pagi tadi dan turut dipantau oleh Bahagian Perancangan dan Penguatkuasaan Rel APAD.

Pihak berkenaan juga telah menggerakkan 24 set tren di sepanjang laluan Putra Heights – Gombak.

Semalam, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan keputusan sama ada pembukaan semula perkhidmatan bagi 16 stesen LRT laluan Kelana Jaya akan dipercepat bergantung kepada hasil ujian berkenaan.

Selasa lalu, perkhidmatan tren Rapid laluan Kelana Jaya mengalami gangguan dan terpaksa dihentikan, berpunca daripada sistem kawalan tren automatik A-T-C, yang menyebabkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan tren.

Loading...
Terkini