BINTULU: Seorang lelaki terpaksa menahan sakit hampir sejam selepas tangannya tersepit pada mesin di sebuah kilang di Samalaju di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.35 pagi sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurung ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan menyelamat mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan tangan mangsa warga Indonesia yang berusia 28 tahun.
“Komander operasi telah mengarahkan anggota untuk mengeluarkan tangan mangsa iaitu seorang pekerja warga Indonesia dengan memotong skru pada bahagian mesin bagi mengeluarkan tangan mangsa menggunakan grinder.
“Mangsa berada dalam keadaan sedar dan mengalami kecederaan parah di bahagian tangannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa diserahkan kepada pasukan paramedik kementerian Kesihatan (KKM) dan dihantar ke Hospital Bintulu.