comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Gara-gara termakan biskut ganja, kanak-kanak dimasukkan ke hospital

 

IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa dimasukkan di hospital setelah mengalami gejala sesak nafas, pening kepala dan loya setelah termakan biskut coklat yang disyaki mengandungi ganja.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal mendapati biskut berkenaan dibuat sendiri oleh bapa mangsa yang bekerja sebagai penoreh getah.

Dalam kejadian malam semalam, mangsa yang berusia 11 tahun telah dibawa oleh bapanya ke Klinik Kesihatan Lawin setelah mengalami gejala berkenaan.

Pembantu perubatan klinik berkenaan kemudiannya membuat laporan polis memaklumkan situasi mangsa.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah termakan biskut disyaki dicampur dengan ganja yang menyebabkan dia mengalami symptom sesak nafas, pening kepala dan loya. Mangsa telah dibawa ke Hospital Gerik dan dirujuk ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan dan rawatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Datuk Seri Mohd Yusri, keadaan mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Saringan ujian air kencing ke atas seorang dewasa mendapati positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).

Lelaki berkenaan direman bermula hari ini hingga 3 Jun depan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Loading...
Terkini