comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Garis panduan konsert di universiti belum diluluskan, serah pada mahasiswa, IPT 

 

JOHOR BAHRU : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan kepada mahasiswa dan pengurusan setiap Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam menentukan garis panduan bagi penganjuran sebarang aktiviti hiburan yang ingin diadakan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya lebih cenderung kepada isu pemerkasaan mahasiswa dan memberi bayangan bahawa KPT tidak akan menyediakan sebarang garis panduan tertentu.

“Saya sentiasa cakap mengenai soal pemerkasaan mahasiswa. Saya lebih cenderung kepada mahasiswa itu tetapkan dan jaga (garis panduan).

“Jadi, tidak adalah garis-garis panduan seperti itu (tular),” katanya ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr Mohd Zahari Ismail.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika ditanya mengenai Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di IPT di bawah KPT dikeluarkan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) yang tular sejak semalam

Mengulas lanjut mengenai penularan garis panduan itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi memberi bayangan tidak meluluskan garis panduan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau ingin melihat terlebih dahulu garis panduan dikeluarkan JPT itu dan tidak meletakkan sebarang tempoh masa untuk membuat sebarang keputusan.

“Dia (JPT) belum bawa kepada saya. Saya tidak tahu macam mana boleh tular. Kalau saya setuju luluslah, saya tidak setuju, tidak luluslah.

“Saya belum tengok, jadi saya mahu tengok. Tiada ‘time frame’ (tempoh sama), lagipun sekarang tengah cuti semester, tiada konsert.

“Jadi, saya tunggu sahajalah dia hantar, mungkin saya ‘slash’ (potong) sahaja semua,” katanya.

Terdahulu, dalam satu portal, Mohamed Khaled diaporkan berkata, garis panduan yang tular itu belum diluluskan.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Cina, melaporkan berkaitan garis panduan itu yang mengundang kritikan kerana didakwa mengekang hak dan autonomi mahasiswa untuk menganjurkan acara hiburan.

Garis panduan itu antaranya didakwa memperkenalkan kod pakaian yang melarang pakaian memaparkan logo Illuminati, lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) selain simbol-simbol lucah serta rambut punk.

Artis juga dilarang memakai pakaian berbeza jantina, termasuk anting-anting, gelang dan seluar pendek.

Tempat duduk lelaki dan perempuan juga mesti dipisahkan, termasuk kawasan khas untuk penonton yang datang dengan anggota keluarga.

Peraturan lain termasuk, penganjur perlu melakukan semakan latar belakang artis bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam sebarang kontroversi dan penganjur mesti memastikan lagu dipersembahkan tidak mengandungi lirik atau genre yang menyentuh isu-isu sensitif.

’Mosh pits’ atau tempat orang ramai melompat dan berjoget yang biasa dilihat dalam konsert rock, dilarang sama sekali selain artis dilarang membawa penonton naik ke pentas.

Artis lelaki juga dikatakan dikehendaki mengikat rambut panjang dan semua pembuat persembahan dilarang memakai pakaian mencolok mata, manakala penari dilarang membuat sentuhan fizikal atau terlibat dalam tarian provokatif.

Loading...
Terkini