Tumpuan :
Nasional

Gelombang kedua banjir diramal landa Johor Rabu hingga Sabtu ini

Onn Hafiz mendengar penjelasan ketika meninjau PPS di sekitar Kota Tinggi. – Foto ihsan FB

KOTA TINGGI: Negeri Johor diramal dilanda gelombang kedua banjir antara Rabu hingga Sabtu ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berdasarkan jangkaan dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) ketika taklimat banjir sewaktu meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di sini, hari ini.

“METMalaysia memaklumkan gelombang kedua hujan berterusan dijangka berlaku di Johor pada 15 hingga 18 Januari ini.

“Justeru, saya menyeru seluruh Bangsa Johor supaya terus waspada dan mendengar arahan daripada pihak berkuasa, supaya usaha pengurusan banjir di negeri ini berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini.

Sementara itu, penduduk daerah ini yang ditemui melahirkan kebimbangan mereka susulan ramalan berlakunya gelombang kedua banjir itu.

Penduduk Taman Mawai, Rahizat Abdul Rahim, 49, berkata beliau bersama mangsa banjir di PPS turut tidak dibenarkan pulang ke rumah semula walaupun keadaan banjir sudah surut susulan gelombang kedua yang bakal melanda.

Katanya, pengurusan PPS memaklumkan hujan lebat berterusan dijangka bakal berulang semula mulai esok dengan banjir gelombang kedua dijangka berlaku.

“Banjir kali ini naik dengan pantas serta berarus deras dibimbangi akan menyukarkan proses pemindahan jika penduduk dibenarkan balik.

“Oleh itu, kami terpaksa bersiap sedia dengan pulang sebentar ke rumah untuk mengemas barang-barang bagi dinaikkan ke tempat lebih tinggi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini