comscore
Tumpuan :
Nasional

[KEMAS KINI]: Gempa bumi lemah di Ranau

Foto hiasan

KOTA KINABALU: Satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.7 dikesan di Ranau, pada jam  7.13 pagi tadi menyebabkan gegaran kecil dirasai orang ramai di kawasan itu.

Namun, tiada insiden tidak diingin berlaku.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataannya memaklumkan, pusat gempa bumi itu dengan kedalaman 5 kilometer (km) iaitu 13 km barat laut dari Ranau.

“Gegaran dirasai di Ranau dan kawasan sekitarnya.

“Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib, berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan atau panggilan kecemasan daripada orang awam akibat gempa bumi itu.

“Selepas berlakunya gegaran berkenaan kami telah menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bangunan di sekitar Ranau, semua dalam keadaan baik.

“Orang ramai dinasihatkan bertenang dan laporkan kepada pihak bomba jika berlaku sebarang insiden kecemasan,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Rozita Jamrin, 29, seorang guru berkata beliau bersama suami serta empat anaknya sedang bercuti di Bundu Tuhan di sini, dan mereka merasai gegaran itu ketika sedang bersiap untuk keluar dari inap desanya.

“Ingatkan anak-anak saya yang bergurau sesama mereka goyangkan perabot tetapi gempa bumi rupanya, terus kami sekeluarga keluar cepat dari bilik inap desa itu. Tidak lama kemudian staf inap desa maklumkan ada gempa bumi kecil sahaja dan keadaan selamat,” katanya. – BERNAMA

 

Loading...
Terkini