comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Geng Broga’ seludup warga Indonesia tumpas

FOTO: JIM

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan ’Geng Broga’ yang disyaki sindiket penyeludupan warga Indonesia dalam operasi khas di sekitar Sungai Besar dan Sabak Bernam, Selangor,  semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dalam kenyataan hari ini berkata, 12 individu warga berkenaan ditahan dalam operasi bermula jam 8.05 malam melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak sebelum bertembung dengan sebuah kereta Perodua Alza, sebuah Perodua Bezza dan sebuah Proton Waja yang dipandu tiga individu dalam keadaan mencurigakan.

“Mereka mula memecutkan kenderaan setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi berjaya dipintas.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun disyaki dalang dan dua lelaki tempatan disyaki sebagai ‘transporter’ (pengangkut) berusia antara 31 hingga 40 tahun,” katanya.

FOTO: JIM

Beliau berkata, turut ditahan dua lelaki, seorang wanita serta seorang kanak-kanak lelaki, kesemuanya warganegara Indonesia.

Menurut Datuk Ruslin, hasil soal siasat pasukan operasi telah diatur gerak ke kawasan paya bakau di sekitar Sabak Bernam dan berjaya menahan lapan lelaki warganegara Indonesia yang baru tiba dari negara terbabit melalui laluan laut.

“Jumlah keseluruhan yang ditahan ialah 15 individu berusia lingkungan 5 hingga 52 tahun.

“Hasil semakan awal mendapati dua lelaki warga Indonesia telah tinggal lebih masa di negara ini manakala 10 lagi warganegara Indonesia termasuk wanita dan kanak-kanak lelaki tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya.

FOTO: JIM

Datuk Ruslin berkata, turut dirampas lima pasport Indonesia, wang tunai RM6,200 serta tiga kereta berkenaan yang dipercayai digunakan untuk mengangkut individu terbabit.

Menurutnya modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan laluan laut untuk membawa masuk dan keluar warganegara Indonesia dari Tanjung Balai, Indonesia ke Sungai Besar mengunakan kapal nelayan sebelum menukar kepada bot kecil di tengah lautan.

“Dalang sindiket ini akan mengatur pergerakan masuk dan keluar dari Malaysia, kenderaan yang akan digunakan untuk membawa migran dan dipercayai berhubung dengan sindiket di Indonesia.

“Sindiket akan mengenakan bayaran sebanyak RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap seorang mengikut jantina dan telah beroperasi selama setahun,” katanya.

Semua lelaki tempatan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 manakala kesemua warganegara Indonesia ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan di bawah Seksyen 6(3) dan 15(4) Akta Imigresen 1959/63. -BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini