Tumpuan :
Nasional

Gerakan Hartal Doktor Kontrak mahu tahu siapa 10 pakar klinikal MAAC

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) yang juga dianggotai pegawai perubatan mempersoalkan siapa kalangan 10 pakar klinikal yang diambil maklum balas dalam Jawatankuasa Penasihat dan Tindakan Perubatan (MAAC).

Menerusi hantaran di platform sosial X, gerakan itu turut melontarkan pertanyaan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengapa ramai pihak yang menentang ‘Doktor untuk doktor’.

“YB @DrDzul; Dr Zulkefly. Sebagai pihak yang terkesan (pegawai perubatan), kami ingin bertanya, siapa 10 pakar klinikal dalam MAAC?

“MAAC dikatakan telah mendapatkan maklum balas daripada pegawai perubatan. Bila? Di mana? Berapa ramai?

“Doktor untuk doktor. Tetapi kenapa ramai yang tentang?” demikian hantaran gerakan di platform sosial X, malam tadi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media khas berkenaan waktu kerja berlainan bagi kakitangan sektor kesihatan semalam. – FOTO: NSTP

Pada sidang media di ibu pejabat Kementerian Kesihatan (KKM) petang semalam, Dr Dzulkefly dilaporkan berkata, pelaksanaan sistem Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bagi pegawai perubatan pada Februari ini bergantung kepada keputusan MAAC.

Beliau berkata, ia kerana pelaksanaan sistem syif waktu bekerja berperingkat-peringkat kekal sebagai perkara dalaman yang perlu ditangani oleh MAAC dan jabatan berkaitan.

Menurutnya, pelaksanaan sesebuah projek rintis seperti WBB hanya boleh dimulakan dengan kelulusan daripada menteri dan persetujuan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Penjelasan itu merujuk kepada surat edaran pelaksanaan WBB Fasa 1 yang tular di media sosial baru-baru ini, yang ditandatangani oleh Pengarah Perkembangan Perubatan Kesihatan KKM, Datuk Dr Mohd Azman Yacob.

Sebelum itu, garis panduan pelaksanaan projek rintis kepada fasiliti-fasiliti kesihatan telah dibuat melalui surat edaran dalaman, agar persediaan di lapangan dapat dibuat sebelum projek rintis dilaksanakan

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

.

Loading...
Terkini