comscore
Tumpuan :
Nasional

GiatMARA Bagan Datuk akan dijadikan MCI – Ahmad Zahid

Oleh: Zulfakhri Ariffin

BAGAN DATUK: Kerajaan bersetuju menaik taraf GiatMARA Bagan Datuk sebagai Institut Malaysia-China (MCI) iaitu institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) yang akan mendapat kepakaran dari China.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata bagi peringkat awal, pusat itu akan melatih 2,000 tenaga TVET sebelum menghantar mereka ke China untuk latihan lanjut.

Selain itu katanya, penubuhan MCI itu bagi menterjemahkan kerjasama antara Malaysia dan China.

Katanya lagi, kaedah pelaburan ini juga dibuat sebagai penempatan semula pelaburan ke Malaysia selain negara pelabur juga memerlukan lebih ramai jurutera dan juruteknik dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV), hidrogen, solar dan telekomunikasi.

“Oleh kerana Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) telah memfokuskan kepada penggunaaan guna tenaga mahir, maka Majlis TVET Negara telah bersetuju supaya kursus-kursus yang akan ditawarkan melalui 1,345 institusi TVET ini akan menumpukan kepada bidang-bidang yang saya sebutkan tadi.”

“(Ianya) bersesuaian dengan permintaan tenaga kerja oleh pelabur-pelabur daripada luar negara.”

“Disamping itu kita tidak melupakan bahawa dasar-dasar lama juga terus diperkukuhkan umpamanya apabila Malaysia sebagai sebuah negara maritim, sebuah institusi TVET dengan Turkiye juga telah ditubuhkan di mana MARA telah diberikan peranan untuk melakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, GiatMARA Bagan Datuk juga akan melalui proses naik taraf kemudahan dan infrastruktur termasuk membesarkan kawasan kampus dalam masa terdekat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini